12 peratus tentera, polis keluar mengundi

0
1

SEJUMLAH 12 peratus pengundi awal terdiri polis dan tentera serta pasangan telah mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat jam 9 pagi tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 63 pusat mengundi dibuka bagi proses pengundian awal PRN Johor bermula 8 pagi.

Sebanyak 83 saluran disediakan di premis Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti di dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kem Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kem tentera.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lebih 11,500 anggota polis negeri itu mengundi awal hari ini.

“Setakat ini pengundian awal berjalan lancar walaupun hujan agak lebat awal pagi tadi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dalam pada itu, seramai 631 pegawai dan anggota polis di IPD Batu Pahat mula membuang undi di sembilan balai polis seluruh daerah berkenaan.

Selain itu, dua lagi lokasi pembuangan undi ditetapkan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Kem Majidee Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan pengundi anggota tentera.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, daripada jumlah layak membuang undi awal hari ini, 16 anggota polis tidak dapat menunaikan tanggungjawab berkenaan kerana sedang dikuarantin selepas disahkan positif Covid-19.

Katanya, sebahagian 61 pegawai dan anggota polis yang bertukar ke kontinjen luar daerah juga akan ke pusat pembuangan undi untuk melaksanakan tanggungjawap berkenaan.

“Saya menjangkakan peratus keluar mengundi membabitkan anggota polisd di daerah Batu Pahat akan mencecah 90 peratus hari ini, ” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya sehingga kini pihaknya hanya menerima dua laporan polis mengenai pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kempen PRN Johor di daerah ini.

“Kes pertama membabitkan penganjuran program hiburan di Ayer Hitam, manakala kes kedua pula membabitkan perhimpunan melebihi jumlah kehadiran ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here