
SESI persekolahan Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 bagi pelajar sekolah menengah akan dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu bermula 21 Mac.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kesemua pelajar menengah hanya akan hadir untuk sesi bersemuka bermula 4 April tanpa sebarang penggiliran pelajar.
Menurutnya, ketetapan itu tertakluk kepada semua Murid Berkeperluan Khas (MBK) di sekolah menengah pendidikan khas (SMKPK) dan program pendidikan khas integrasi (PPKI).
“Ia turut membabitkan pelajar Tingkatan 1, 2, 3, 4, 5, Pra-Universiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara.
“Untuk sekolah berasrama sepenuhnya, terdapat perbezaan dengan sekolah lain. Bagi pelajar berasrama sepenuhnya, pelajar yang dibenarkan masuk ke asrama pada 4 April ialah pelajar Tingkatan, 2, 3, 4, 5 dan Pra-Universiti, IBDP serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara
“Manakala pelajar Tingkatan 1 yang berjaya masuk ke sekolah berasrama perlu memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian berdekatan kediaman sehingga tarikh kemasukan ke asrama diumumkan,” katanya dalam hantaran video di Facebook, hari ini.
Radzi berkata, bagi sekolah swasta berasrama sepenuhnya yang mempunyai kapasiti untuk menguruskan keseluruhan pelajar, sekolah boleh beroperasi sepenuhnya termasuk membabitkan pelajar baharu Tingkatan 1.
Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk sekolah rendah yang mempunyai murid lebih 600 orang, murid yang akan hadir tanpa penggiliran melibatkan MBK di sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK) dan program pendidikan khas integrasi (PPKI).
“Ia turut membabitkan murid prasekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 serta semua murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) manakala murid Tahun 3, 4 dan 5 pula hadir secara penggiliran,” katanya. – Malaysiapost
