Bayi 24 hari ditemui maut

0
1

BAYI perempuan berusia 24 hari ditemukan tidak sedarkan diri ketika tidur di rumah keluarganya di Kampung Batu 1, Pedas Tengah, Rembau, Negeri Sembilan, tengah hari ini.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Rembau namun pihak polis belum dapat mengesahkan punca kematian bayi berkenaan memandangkan bedah siasat belum dilakukan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu disedari tidak memberi respons ketika kakaknya mahu membetulkan kain bedung.

“Berdasarkan siasatan awal, ibu bayi itu yang berusia 42 tahun menyusukannya pada 12.39 tengah hari tadi. Selepas tidurkan bayi itu diletakkan di ruang tengah rumah.

“Kira-kira 30 minit kemudian kakak bayi itu ingin membetulkan kain bedung sebelum mendapati adiknya dalam keadaan tidak bertindak balas,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Hazri berkata, ibu bayi membawa anaknya itu ke Unit Kecemasan Hospital Rembau sebelum doktor bertugas mendapati tiada nadi dikesan dan badannya dalam keadaan sejuk.

“Prosedur kecemasan dengan memberikan bantuan pernafasan dijalankan, namun tiada tindak balas sebelum doktor mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

“Bedah siasat belum dijalankan kerana masih menunggu laporan keputusan ujian Covid-19 dan jenazah bayi kini berada di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.

“Satu laporan polis berhubung kejadian dibuat ibu bayi berkenaan 5 petang tadi dan setakat ini, punca kematian belum dipastikan dan polis akan menjalankan siasatan lanjut selepas laporan bedah siasat diperoleh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here