‘Buat masa ini, BN-Umno adalah penyakit kronik’ – Kadir Jasin

0
2
KUALA LUMPUR, 14 Mei -- Ketua Media dan Komunikasi bagi Majlis Penasihat Kerajaan Datuk A Kadir Jasin pada sidang media selepas mesyuarat tertutup Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

WARTAWAN veteran, A Kadir Jasin berkata beliau tidak membencikan Umno, sebaliknya beranggapan parti itu telah dicemari sebahagian pemimpin mereka yang didakwa mencuri daripada negara dan bangsa sendiri.

A Kadir berkata, walaupun kebanyakan rakyat Johor dilihat masih menyokong Umno namun ada juga yang sedar bahawa parti itu sudah lari dari perjuangan sebenarnya.

“Saya juga tahu banyak orang Johor sangat bangga dengan Umno yang mereka anggap parti negeri Johor. Tapi banyak juga yang sedar bahawa Umno yang ada hari ini bukanlah Umno yang dilahirkan di Johor pada 10 Mei 1946,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, kepemimpinan Umno Johor sendiri sudah lama tidak menyerlah dan tidak muncul lagi calon Perdana Menteri dari Johor selepas Allahyarham Tun Hussein Onn.

“Tan Sri Muhyiddin Md Yasin tidak boleh diambil kira pasal dia jadi Perdana Menteri ikut celah atap. Tun Musa Hitam ada potensi jadi calon Perdana Menteri tapi dia ambil keputusan letak jawatan pada tahun 1986,” katanya.

A Kadir berkata, karier politik beliau juga bermula daripada Umno, namun membuat keputusan keluar dari parti itu disebabkan Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa olehnya merosakkan Umno.

“Saya pun asal-usul daripada Umno. Dilahirkan ke dalam keluarga Umno setahun selepas parti itu ditubuhkan. Selama 32 tahun saya jadi ‘card-carrying member’ sehinggalah tahun 2015 apabila Mohd Najib Abdul Razak merosakkan Umno.

“Bukan skandal 1MDB saja yang menyebabkan saya tawar hati. Banyak lagi skandal korporat dan salah urus ekonomi yang dilakukan oleh Najib dan konco-konconya.

“Pemimpin Umno, termasuk dari Johor, sama ada bersekongkol dengan dia atau membisu seribu bahasa. Akhirnya Umno ditendang keluar oleh orang Melayu sendiri. Hari ini Umno balik berkuasa melalui tipu helah dan rampasan kuasa.

“Justeru, orang Johor pernah mendahului pemikiran dan mempelopori kepimpinan. Tapi sekarang saya tidak pasti kalau sudah ada orang Johor yang sanggup jual bangsa mereka – bangsa Johor – dengan harga tunai RM50, setangki minyak motor atau kemeja-T Bossku,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, selagi ahli Umno masih menyokong dan membiarkan orang sedemikian memimpin parti mereka, Umno tidak layak dikembalikan.

“Tetapi kalau Umno menolak pengkhianat negara ini dan pilih ketua-ketua yang lebih baik, banyak orang akan balik semula kepadanya.

“Keadaan kita hari ini macam orang sakit teruk. Tugas utama adalah mengubati maladi kronik itu. Sama ada kesihatan kita akan menjadi lebih baik selepas penyakit itu diubati bergantung kepada cara kita menjaga kesihatan. Buat masa ini Umno/BN adalah penyakit kronik!,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here