Tok mat nafi dakwaan beri kata dua pada PM

0
1

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan memberi kata dua kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum (PRU) dapat diadakan.

Ia susulan dakwaan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa beliau cuba menekan Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden Umno, supaya mengadakan PRU.

Bagaimanapun, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menafikannya.

“Saya berdialog dengan pengundi di Machap dan saya ditanya sama ada Umno akan mendesak PRU, jika kita menang pilihan raya negeri (PRN) Johor.

“Saya jawab PRU tidak bergantung kepada keputusan pilihan raya Johor. Tidak kira PRN atau tidak, kita perlu segerakan PRU bagi mengembalikan mandat rakyat,” katanya memetik Free Malaysia Today.

Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata kerajaan semasa bukan dipilih rakyat dan ketidak stabilan politik di negara ini menjejaskan rakyat serta ekonomi.

“Saya juga kata Umno tidak boleh menuntut pembubaran Parlimen. Perdana Menteri adalah satu-satunya orang yang boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Ia hanya boleh berlaku melalui dua cara, sama ada Agong memperkenan pembubaran Parlimen atau sebaliknya.

“Kebiasaannya, jika Agong tidak memperkenankan pembubaran itu, ini bermakna Agong tidak mempunyai keyakinan terhadap PM, dan lazimnya, PM perlu meletak jawatan,” katanya lagi.

Katanya, beliau sekadar menjelaskan proses pembubaran kepada pengundi, bukannya mengugut Ismail Sabri.

“Kebiasaan itu tertakluk kepada sesiapa sahaja yang menjadi PM, saya tidak mengeluarkan sebarang kata dua,” ujarnya.

Terdahulu, di Dewan Rakyat hari ini, Tajuddin berkata beliau kesal dengan kenyataan Mohamad memberikan kata dua, sekiranya Ismail Sabri gagal meyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan PRU dengan segera, maka beliau perlu melepaskan jawatan Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here