BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membangkitkan mengenai kedudukan semasa kewangan negara dalam sesi perbahasan usul menjunjung kasih atas titah diraja Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa prestasi ekonomi negara yang baik ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini merosot selepas Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) memerintah.
“Minggu lepas Yang Berhornat Pagoh (Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengugut untuk membongkarkan keadaan kewangan negara, tetapi sehingga kini nampaknya tiada apa-apa perkembangan. Tidak apalah biar saya perjelaskan.
“Akibat pemansuhan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) yang dilakukan semata-mata sebagai langkah populis, ditambah lagi aset-aset negara yang selama ini memberi pulangan baik tetapi dijual serta prestasi ekonomi lembab di bawah kerajaan PH dan PN.
“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) defisit tahunan kerajaan yang turun lapan tahun berturut-turut semasa kerajaan BN dahulu telah naik semula,” katanya.
Menurutnya, akibat daripada itu hutang langsung negara telah naik lebih 46 peratus atau kenaikan sekitar RM320 bilion dari RM687 bilion pada 2017 kepada lebih RM1.03 trilion hari ini.
“Nisbah hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga naik dari 48.7 peratus ke lebih 63 peratus hari ini iaitu jauh melebihi had nisbah hutang 55 peratus yang ditetapkan semasa kerajaan BN.
“Bukan sahaja rizab tunai Petronas sebanyak RM176 bilion yang ditinggalkan kerajaan BN pada masa PRU-14 telah dijarah tetapi tabung Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP), Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan Khazanah Nasional turut mengalami nasib yang sama dikorek oleh kerajaan PH dan PN.
“Sedangkan sepanjang tempoh KWAP ditubuhkan dan beroperasi satu sen pun tidak pernah diambil dari tabung ini pada era BN,” katanya.
Beliau berkata, hakikatnya nilai aset KWAP naik kepada RM140 bilion pada akhir 2017, namun malangnya bermula tahun 2018 sebanyak RM19.5 bilion telah dikeluarkan dari KWAP oleh PH berbanding dengan sifar pada zaman BN.
“Begitu juga dengan tabung KWAN dimana nilai tabung naik daripada RM4 bilion pada 2008 ke RM17 bilion pada akhir 2017, sebaliknya sebanyak RM15 bilion telah dikorek keluar oleh kerajaan PN.
“Nilai aset Khazanah Nasional yang naik berganda dari RM33 bilion ke RM116 bilion dalam tempoh sembilan tahun sebelum PRU-14.
“Nilainya telah menurun pada akhir tahun 2020 selepas aset bernilai berpuluh-puluh bilion ringgit yang sepatutnya memberi pulangan yang baik telah dijual oleh kerajaan PH,” katanya.
Najib berkata, ianya adalah jelas bahawa nilai-nilai rizab dan tabung simpanan kerajaan ketika ini sudah jauh lebih rendah berbanding sebelum PRU-14. – Malaysiapost

