Jualan Sambal Nyet Khairul Aming cecah RM7.5 juta dalam setahun

0
1

VIDEO pendek masakan pemuda bernama Khairul Aming sering mendapat perhatian pengguna media sosial kerana menampilkan menu-menu ringkas tetapi menyelerakan.

Kini, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman, mula dikenali sebagai cef selebriti malah kian mengorak langkah sebagai usahawan berjaya.

Dalam ciapan terbaharu di Twitter, Khairul memaklumkan produk sulungnya, Sambal Nyet, berjaya mencecah jualan RM7.5 juta dalam tempoh setahun.

Perkongsian itu juga turut dimuat naik video yang memaparkan kilang pengeluaran Sambal Nyet yang berkeluasan 14,000 kaki persegi terletak di Kota Bharu, Kelantan telah siap dan sudah beroperasi sepenuhnya.

Menurutnya, beliau berhasrat mahu belajar dan memahirkan diri dalam segenap aspek perniagaan serta pengeluaran, dan disebabkan itu tercetus idea membangunkan kilang tersebut.

“Sepanjang setengah tahun yang lepas macam-macam silap aku buat. Ada tersilap beli mesin, tersilap beli material, tersilap design layout dan macam-macam lagi. Tapi dari situ kita belajar. Selepas spend lebih RM1 juta, ini kilang yang beroperasi pada hari ini.

“Dari segi pembuatan sambal, kita dah berjaya automate lebih dari 50 peratus. Berbekalkan dengan mesin-mesin ni, banyak masa kita dapat jimatkan untuk production,” katanya.

Dalam masa sama, Khairul berkata sehingga hari ini Sambal Nyet terus mendapat permintaan menggalakkan setiap hari dan pihak mereka juga sudah meningkatkan penghasilan produk itu.

“Fokus kita yang seterusnya adalah membuat ‘preparation’ untuk bulan puasa dan diharapkan kita dapat cecah jualan 1 juta botol dalam masa yang terdekat.

“Tapi buat masa sekarang, kita masih lagi berhadapan isu harga cili dan bawang yang mahal. Yes, benda ni memang makan margin product setiap hari,” ujarnya dalam video itu.

Katanya, dengan sokongan tidak putus-putus daripada orang ramai, beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan setianya yang membawanya ke tahap hari ini.

“Saya sangat terhutang budi dengan anda semua dan juga team Sambal Nyet atas sokongan yang berterusan. Tak pernah imagine dapat sampai ke tahap ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here