Keterangan Leissner mengenai BNM dibincang di sesi kamar khas Parlimen

0
2

[Parlimen] YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun meluluskan usul tergempar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) untuk membincangkan pendedahan bekas pengurus bank Goldman Sachs Tim Leissner mengenai amalan rasuah yang didakwa dalam Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung 1MDB.

Dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, Azhar bersetuju bahawa perkara yang dikemukakan oleh Anwar adalah khusus dan mempunyai kepentingan awam yang mendesak, lapor MalaysiaKini.

“Saya telilti usul itu. Untuk perkara tertentu itu ada dua bahagian pertama, keterangan bekas (Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara) Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat mengenai rasuah, salah guna kuasa, penyelewangan institusi Malaysia, adalah agak terlalu am dan tidak spesifik.

“Usul ini seterusnya menyatakan khasnya BNM berentetan daripada skandal 1MDB dan pembongkaran BNM, saya dapati ia perkara yang tertentu.

“Saya juga setuju ia perlu disegerakan dan berkenaan kepentingan orang ramai. Saya benarkan usul dirunding dalam Kamar Khas jam 2.30 petang ini,” katanya.

Anwar mengemukakan usul itu semalam di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1) dan menggesa perbahasan berhubung dakwaan Leissner mengenai rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi, khususnya kaitan BNM dengan 1MDB.

Leissner telah memberi keterangan sebagai saksi utama dalam perbicaraan rasuah bekas rakan sekerjanya Roger Ng di New York, yang mana dia menyebut dakwaan rasuah yang melibatkan bekas suami gabenor Bank Negara.

Bagaimanapun, dia tidak boleh mengesahkan secara bebas sama ada sogokan telah dibayar atau tidak.

Sejak itu, Datuk Dr Tawfiq Ayman suami kepada bekas gabernor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menolak dakwaan daripada Leissner, berkata dia tidak pernah menerima sebarang rasuah sepanjang hidupnya.

Walaupun Azhar bersetuju supaya perkara itu ‘dirunding’ di dalam kamar khas lewat petang ini, Anwar bertegas ia perlu dibahaskan di Dewan Rakyat kerana isu itu mempunyai implikasi nasional dan boleh menjejaskan ‘maruah’ negara.

Azhar tidak bersetuju dengan cadangan itu berkata, kedudukan kamar khas adalah sama dengan sidang Dewan Rakyat kerana ia terbuka kepada semua.

Katanya, merundingkan isu itu di dalam kamar khas tidak akan mengganggu agenda mesyuarat hari ini, iaitu membahaskan Usul Menjunjung Kasih dan Pembahasan Titah Diraja.

Secara berasingan, R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) turut membawa isu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang dituduh mempunyai konflik kepentingan susulan dakwaan pegangan sahamnya.

Mereka menggesa Azhar untuk memanggil Azam ke Parlimen untuk menjawab kepada penggubal undang-undang mengenai dakwaan itu.

Poay Tiong turut mempersoalkan bagaimana Azam boleh enggan hadir apabila dipanggil oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dwipartisan mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bulan lepas.

Jelas Azhar, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memanggil Azam menghadap PSC kerana hanya jawatankuasa itu yang mempunyai kuasa itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here