SEMUA kes mahkamah melibatkan pemimpin tertinggi Umno kononnya akan digugurkan jika Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah naratif lama yang dikitar semula oleh pihak musuh.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan dakwaan itu dan berkata, tiada satu pun kes mahkamah yang melibatkan pemimpin tertinggi Umno digugurkan selepas BN menang besar pada PRN Melaka tahun lepas.
Katanya, naratif ‘kluster mahkamah’ yang digunakan pihak lawan sebagai bahan kempen tidak akan menjejaskan peluang kemenangan BN pada PRN Johor kali ini.
“BN menang di PRN Melaka pun tidak memberi kesan kepada kes di mahkamah. Kalau kita menang di Johor, apa kena-mengena dengan kluster mahkamah.
“Adakah hakim akan ‘terpukau’ dengan kemenangan di Johor,” katanya selepas bertemu jentera BN bagi kerusi DUN Machap di Kluang, hari ini.
Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Johor berkata, jentera BN kini menjalankan kajian sikap kedua bagi benar-benar mengenal pasti kehendak pengundi baru di Johor.
Menurutnya, tindakan itu bagi memastikan BN mengatur strategi untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan pengundi yang pertama kali mengundi.
Bagaimanapun, Mohamad mengakui sukar untuk menjangkakan emosi atau sikap pengundi kali pertama di Johor.
Mohamad turut mengingatkan jentera BN agar tidak mengambil mudah pengundi ‘putih.’
“Pasal pengundi putih, sebagai contoh kalau ibunya Ketua Wanita Umno bahagian, tidak semestinya seluruh keluarga akan menyokong Umno,” katanya. – Malaysiapost

