Calon Muda dikompaun langgar SOP

0
1

GARA-gara melakukan ’fist bump’ dengan penyokong Sabtu lalu, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dikompaun RM1,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Azrol Rahani dikenakan kompaun oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulai di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atas kesalahan yang dilakukan pada hari penamaan calon itu dan kompaun dikeluarkan pada petang hari sama.

Dalam satu kenyataan, Muda berkata kesalahan yang dinyatakan adalah “Individu gagal membuat penjarakan fizikal (sentuhan tangan) di Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Permai Dewan Raya Bandar Putra Kulai.”

Menurutnya, kesalahan penjarakan fizikal yang dirujuk adalah perbuatan ‘fist bump’ antara calon dan penyokong di luar Pusat Penamaan Calon berkenaan.

“Muda memberikan kerjasama yang baik dengan pihak berkuasa dan berpandangan bahawa kompaun yang dikenakan ini jelas tidak munasabah, tidak berlandaskan kepada butiran SOP yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan jelas boleh mengganggu perjalanan kempen setiap calon.

“Malah, Muda juga menerima maklumat berkenaan majlis keraian yang dilakukan oleh pemimpin parti lain yang jelas melanggar SOP dengan lebih jelas dan pada skala lebih besar yang perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib,” kata kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu, Muda menggesa kerajaan untuk bersikap telus dan adil dalam hal terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here