Ahli Parlimen jangan bawa sentimen PRN Johor dalam Parlimen – Tajuddin

0
1

PENGERUSI Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyeru Ahli Parlimen kerajaan supaya tidak membawa sentimen kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke Dewan Rakyat ataupun dalam kerajaan.

Beliau berkata, Ahli Parlimen seharusnya menghayati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya mengurangkan berpolitik dan fokus kepada usaha membantu rakyat.

“Saya sebagai ketua BBC ingin menyeru kepada rakan-rakan ahli Parlimen menyokong kerajaan, supaya kita menyambut baik dengan memainkan peranan seperti mana yang diharapkan Tuanku.

“Kita sebagai BBC peranan kita yang utama sekali adalah menyokong kerajaan, bagi memastikan kerajaan itu tidak tergugat, tidak terganggu dengan perkara-perkara yang lain tidak penting,” katanya hari ini.

“Sebagai mana yang semua orang tahu BBC terdiri daripada pelbagai parti politik, kerajaan kita didukung parti politik yang berbeda, sekarang ini pilihan raya sedang berlangsung.

“Jadi saya ingatkan diri saya dan juga rakan-rakan semua daripada BBC supaya jangan dibawalah politik di Johor itu ke dalam dewan (Dewan Rakyat) sini, Johor tinggal di Johor itu padang yang berlainan,” katanya hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menasihatkan semua Ahli Parlimen yang mula bersidang dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-14 hari ini supaya mengurangkan berpolitik dan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat.

Seperti tradisi Baginda sebelum ini, titah nasihat itu disampaikan melalui dua rangkap pantun ketika merasmikan mesyuarat berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Tajuddin turut mengingatkan ahli Parlimen BBC supaya memberi fokus kepada isu rakyat dan tidak perlu membangkitkan soal politik.

Bahkan, ujarnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak pernah menghalang mana-mana menteri dalam kerajaan untuk turun membantu kempen parti masing-masing secara berhemah di Johor.

“Menteri dalam Kabinet pun berlainan parti, bila berlainan parti jangan ingat Perdana Menteri ini bukan ketua aku.

“Bila kamu dalam Kabinet Perdana Menteri lantik anda sebagai menteri timbalan menteri anda adalah dalam satu pasukan tidak parti-parti dah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here