Semua bilik gerakan banjir di Kelantan diaktifkan

0
2

SEMUA bilik gerakan banjir di bawah Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) setiap jajahan di Kelantan diaktifkan dan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi bencana kali ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, berkata ia turut melibatkan kerjasama daripada agensi yang terlibat seperti pasukan keselamatan, wakil-wakil rakyat termasuk sukarelawan.

“Jentera kerajaan sudah siap siaga dengan kerjasama bersepadu pasukan keselamatan, wakil-wakil rakyat termasuk pasukan sukarelawan untuk memastikan proses pemindahan dan agihan bantuan keperluan asas banjir berjalan lancar, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad turut menyeru supaya semua rakyat berwaspada dan mematuhi segala arahan keselamatan yang dikeluarkan termasuk arahan berpindah dan meningkatkan kawalan kendiri serta memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi terutama ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus menunjukkan peningkatan setakat 2 petang ini, iaitu seramai 1,554 orang berbanding 853 mangsa pagi tadi yang ditempatkan di 28 PPS dengan melibatkan empat jajahan iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada untuk beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata ia berikutan luruan monsun berserta satu sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan telah memasuki sempadan Pahang dan Terengganu seterusnya dijangka bergerak merentasi Semenanjung menuju utara Selat Melaka.

Katanya, hujan sangat lebat dan berterusan dalam tempoh panjang boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah.

“Sehubungan itu, Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) yang dikeluarkan pada jam 10.45 pagi semalam dikemas kini dengan dijangka beberapa daerah di Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun) dan Kelantan dijangka mengalami hujan sangat lebat berterusan hari ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here