MUDA masih ada masa elak letak calon di DUN Larkin – PKR

0
1
Parti Keadilan Rakyat

PKR mempersoalkan pengumuman calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang akan meletakkan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.

Ini kerana PKR telah mengumumkan calonnya akan bertanding di kerusi tersebut pada 14 Febuari lalu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Johor PKR, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata beliau amat kesal dengan tindakan MUDA kerana ia jelas tidak menghormati semangat kebersamaan pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Saya sedar mungkin tindakan ini diambil kerana kerusi yang dituntut oleh MUDA dalam rundingan tidak dipersetujui oleh Keadilan (PKR).

“Namun wajar saya tegaskan dan ingatkan bahawa tindakannya itu bercanggah dengan pendekatan membawa suara rakyat dan lawan musuh bersama, malah lebih buruk lagi seolah-olah memberi kemenangan kepada lawan,” katanya hari ini.

Syed Ibrahim berkata, PKR tidak akan mengambil langkah sama untuk melanggar kerusi MUDA kerana menghormati rakan-rakan Amanah dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ia kerana tindakan itu kurang bijak malah akan dicemuh pengundi dan rakyat yang sudah pun muak dengan politik perebutan kuasa.

“Keadilan akan terus bertanding di kerusinya untuk memenangi hati pengundi.

“Keadilan hanya akan tumpu kepada membantu calonnya dan calon Amanah serta DAP dalam PRN ini, sekiranya MUDA tetap meletakkan calonnya di kerusi ditandingi Keadilan,” ujarnya.

Beliau berkata, MUDA masih ada masa untuk menimbang semula tindakannya sebelum penamaan calon esok.

“Memang benar bahawa rakyat yang akan menentukan siapa pilihan mereka tetapi biarlah pertimbangan dibuat atas dasar dan sikap yang betul dalam politik,” katanya.

Semalam, Muda mengumumkan tiga lagi calon yang akan mewakili parti itu dalam PRN Johor pada 12 Mac ini, sekali gus
menyaksikan setakat ini parti itu sudah mengumumkan tujuh calon.

Tiga calon tersebut ialah R Sangaran yang akan bertanding di DUN Machap, Rasid Abu Bakar di DUN Larkin dan Fikri Musa di Parit Raja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here