137 askar Ukraine terkorban, 316 cedera sejak pencerobohan Rusia – Zelensky

0
2
Ukraine soldier

KIRA-kira 137 askar Ukraine terbunuh sejak pencerobohan Rusia bermula awal Khamis, manakala 316 askar lagi cedera.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menerusi video di Facebook berkata negara lain gentar untuk menyokong penyertaan Ukraine ke Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Paparan video tersebut menunjukkan Zelensky sedikit muram dan kelihatan sedih, memetik laporan CNN.

“Siapakah yang bersedia untuk menjamin penyertaan Ukraine ke NATO? Sejujurnya, semua orang takut.

“Saya bertanya kepada semua rakan kongsi sama ada mereka bersama kami. Mereka bersama kami, tetapi mereka tidak bersedia untuk membawa kami bersekutu dengan mereka,” katanya dalam video itu.

Zelensky berkata, berdasarkan perbualannya dengan pemimpin asing, beliau mendapati Ukraine mendapat sokongan.

“Saya berterima kasih kepada setiap negara yang membantu kami secara konkrit, bukan hanya dengan kata-kata,” ujarnya.

Bagaimanapun, pemimpin itu berkata Ukraine ditinggalkan untuk mempertahan negara bersendirian.

Zelensky juga mengajukan soalan, siapakah yang bersedia untuk berjuang bersama Ukraine kerana secara jujurnya beliau tidak nampak sebarang pertolongan luar.

“Hari ini saya bertanya kepada 27 pemimpin Eropah sama ada Ukraine akan berada dalam NATO, saya bertanya secara langsung.

“Semua orang takut, tidak menjawab. Dan kami tidak takut, kami tidak takut apa-apa,” kata Zelensky.

Terdahulu, Ketua NATO, Jens Stoltenberg memaklumkan perikatan tersebut tidak berhasrat untuk menghantar pasukan tentera mereka ke Ukraine selepas kempen pencerobohan Rusia bermula pada Khamis.

“Setakat ini, tiada pasukan tempur NATO di Kiev,” ujarnya selepas mesyuarat tergempar bersama wakil perikatan tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here