PRESIDEN Rusia Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan di Ukraine hari ini.
Sejurus pengumuman itu, letupan kedengaran di seluruh negara dan menteri luarnya memberi amaran ‘pencerobohan berskala penuh’ sedang dijalankan, memetik portal Chanel News Asia.
Berminggu-minggu diplomasi sengit dan pelaksanaan sekatan Barat ke atas Rusia gagal menghalang Putin, yang mengumpulkan antara 150,000 dan 200,000 tentera di sepanjang sempadan Ukraine.
“Saya telah membuat keputusan operasi ketenteraan,” kata Putin dalam satu pengumuman televisyen mengejut yang mencetus kecaman serta-merta Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, menyebabkan pasaran kewangan global menjadi bergolak.
Dia kemudiannya mengecam apa yang disebutnya sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’ didalangi oleh Ukraine di timur negara itu, serta dasar agresif NATO terhadap Rusia.
“Untuk ini, kami akan berusaha untuk mencapai demilitarisasi dan de-Nazifikasi Ukraine,” kata Putin.
Putin turut berjanji untuk membawa ke mahkamah mereka yang telah melakukan banyak jenayah, yang bertanggungjawab atas pertumpahan darah orang awam, termasuk warga Rusia.
Pemimpin Rusia itu turut bercakap kepada tentera Ukraine untuk meletakkan senjata sebelum memberi jaminan bahawa mereka boleh ‘meninggalkan medan perang tanpa halangan’.
Selain itu, Putin menegaskan bahawa dia tidak mahu pendudukan Ukraine, tetapi demilitarisasi.
Jelasnya lagi, kepada yang cuba untuk campur tangan akan berdepan tindak balas Rusia dengan segera dan membawa kepada akibat yang tidak pernah digambarkan sebelum ini.
“Saya yakin tentera dan pegawai Rusia akan melaksanakan tugas mereka dengan berani,” katanya
“Semua tanggungjawab untuk pertumpahan darah terletak pada hati nurani rejim pemerintah di Ukraine,” katanya.
Bagaimanapun, Putin tidak menyatakan skop operasi ketenteraan, atau sama ada ia akan terhad kepada timur Ukraine. – Malaysiapost

