KETUA jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon, mengesahkan pemilihan E Elavarasan bagi menggalas tugas sebagai penolong jurulatih tempatan dalam barisan kejurulatihan Harimau Malaya kendaliannya.
Elavarasan, 60, adalah ketua jurulatih Sarawak United FC sejak Februari 2020 yang mana beliau berjaya membawa pasukan itu muncul naib juara Liga Premier 2021, sekali gus layak ke Liga Super 2022.
Menurut Pan Gon, pemilihan jurulatih kelahiran Selangor itu menepati kriteria utama dikehendakinya iaitu berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan cukup mengenali pemain yang sedang beraksi dalam Liga Super dan Liga Premier.
“Selepas meneliti calon-calon yang telah ditemu duga oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell sebelum ini, saya sendiri telah bertemu Elavarasan untuk menemu duganya dan melihat beliau calon terbaik dan paling sesuai membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain.
“Saya melihat Elavarasan sebagai jurulatih yang jujur, komited dan sedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam membantu kami barisan kejurulatihan baharu mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi lebih baik,” kata Pan Gon memetik laporan media rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.
Elavarasan yang tidak pernah terbabit dalam mana-mana pasukan di bawah naungan FAM sebelum ini, menyifatkan pelantikannya sebagai satu penghormatan.
“Saya melihat tugasan ini satu cabaran dan peluang untuk menyumbang di peringkat kebangsaan. Saya gembira diberi peluang terbabit dalam projek Pan Gon.
“Saya berharap semua anggota kejurulatihan di bawah seliaan Pan Gon dapat mencipta keserasian segera untuk menghadapi tugasan utama tidak lama lagi.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Sarawak United yang sudi melepaskan saya lebih awal daripada kontrak dan tidak lupa kepada pemain dan penyokong yang memberi kerjasama sepanjang khidmat saya,” katanya.
Dalam sidang media pertamanya pada 17 Februari lalu, Pan Gon yang berasal dari Korea Selatan telah memperkenalkan barisan kejurulatihannya dalam mengemudi skuad Harimau Malaya.
Mereka terdiri daripada Pau Marti Vicente dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Junho dari Republik Korea (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir dari Turki (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun dari Republik Korea (jurulatih analisis prestasi).
Skuad Harimau Malaya dijadual memulakan kem latihan pusat pertama di bawah kendalian Pan Gon pada 14 Mac ini bagi menghadapi dua aksi ntarabangsa Tier 1 bertemu Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac, kedua-duanya di Singapura. – Malaysiapost

