BARISAN Nasional (BN) mempertaruhkan 56 calon disifatkan sebagai ‘game changer’ yang akan membawa perubahan besar kepada Johor untuk menjadi antara negeri utama dan termaju di negara ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada 56 calon bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu, 70 peratus adalah muka baharu.
Katanya, BN menggunakan konsep WALI yang menggariskan tiga elemen iaitu ‘winnable’, ‘acceptable’ dan ‘likeable’ dalam menentukan calon bagi PRN Johor.
“Saya yakin pasukan yang akan dihidangkan kepada rakyat Johor khususnya pengundi, adalah satu ‘game changer’ atau perubahan besar yang tentunya memberi harapan baharu kepada Johor.
“Maka dari penelitian terhadap calon-calon yang dimuktamadkan, BN kali ini akan menghidangkan calon yang terdiri golongan profesional dan mempunyai kelulusan akademik baik.
“Lebih 80 peratus calon terdiri daripada mereka yang mempunyai kelulusan akademik tinggi,” katanya pada majlis pengumuman calon BN di Johor Bahru hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata lebih 80 peratus calon terdiri mereka yang berusia 55 tahun ke bawah, sekali gus menampilkan pasukan lebih bertenaga untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Kita juga buat pelitian dan penanda aras khusus untuk Johor di mana lebih 70 peratus calon terdiri muka baharu.
“Pada masa sama, kita tak lupakan mereka yang berpengalaman untuk terus memberi khidmat dan kesinambungan bagi meletakkan Johor sebagai salah sebuah negeri utama dan termaju di negara ini,” katanya. – Malaysiapost

