Tiada seorang anak saya pernah ditawar atau bekerja di Goldman Sachs – Najib

0
1
Kredit: Instagram

DATUK Seri Najib Razak menegaskan tiada seorang pun anaknya pernah ditawarkan untuk bekerja atau bekerja di Goldman Sachs.

Bekas Perdana Menteri itu berkata walaupun tajuk berita media tempatan memberi bayangan beliau disogok oleh Goldman Sachs yang menawarkan anak-anaknya bekerja di bank tersebut, apa yang diterangkan saksi iaitu bekas eksekutif Tim Leissner ialah cubaan mereka untuk menyogok beliau.

“Namun ini tidak berlaku dan tiada seorang pun anak saya pernah ditawarkan pekerjaan di Goldman Sachs dan tidak pernah bekerja di bank Amerika Syarikat itu. (Itupun tawaran untuk bekerja, ya – bukan tawaran diberi projek-projek ataupun suapan wang.).

“Lalu Tim Leisnner pernah perkenalkan anak perempuan saya untuk memohon kerja di syarikat TPG Capital di Hong Kong yang tiada kaitan dengan Goldman Sachs.

“Dan anak saya memang pernah bekerja selama setahun sahaja dengan jawatan junior di situ,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Susulan itu Najib berkata beliau pelik kenapa media mempermainkan isu pekerjaan bagi anak-anaknya.

Ini kerana katanya kenyataan Tim Leissner di mahkamah semalam juga termasuk tuduhan bahawa kelulusan Bank Negara (BNM) bagi 1MDB memindah dana US$1 bilion kepada syarikat PetroSaudi dan syarikat Good Star diberi secara serta-merta sebab suami kepada Gabenor BNM ketika itu sudah disogok.

“Yang ini, media-media tak mahu lapor ke?,” katanya.

Katanya lagi, anaknya, Nooryana Najwa yang pernah bekerja di TPG Capital bukanlah satu rahsia dan jawatannya bukan tinggi iaitu cuma sebagai investor relations professional.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan bekas pengerusi Goldman Sachs South Asia, Tim Leissner memberi keterangan semalam bahawa satu pertemuan antara Najib Razak dan bekas CEO Goldman Lloyd Blankfein berlangsung pada 2009, yang membawa satu agenda, menurut laporan.

Sebagai balasan kepada perniagaan yang lumayan, peluang kerja dijamin untuk tiga anak Najib di bank pelaburan multinasional AS.

Leissner yang merupakan saksi penting dalam perbicaraan jenayah melibatkan bekas eksekutif Goldman, Roger Ng memberitahu perkara itu kepada juri di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here