MPN sedang siapkan strategi PPN 2.0 – Muhyiddin

0
1

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) kini sedang menyiapkan strategi Pelan Pemulihan Negara 2.0 (PPN 2.0) bagi pertimbangan kerajaan.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat kali ketiga MPN hari ini yang disertai Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya mesyuarat berkenaan turut disertai ahli-ahli MPN serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

“Majlis telah membincangkan strategi PPN 2.0 dan gerak kerja MPN bagi tahun 2022. Sukacita saya ingin maklumkan bahawa PPN 2.0 akan disiapkan segera untuk pertimbangan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata, proses pemulihan negara menunjukkan perkembangan positif apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus dalam tahun 2021 berbanding penguncupan 5.6 peratus tahun 2020.

“Namun begitu, prestasi sektoral bagi tahun 2021 secara keseluruhan berada pada paras yang lebih rendah berbanding tahun pra pandemik 2019.

“Sub-sektor kritikal seperti Penginapan, Makanan dan Minuman juga masih berada di bawah paras pra-pandemik. PPN 2.0 ini amat penting bagi pemulihan semula secara strategik sektor-sektor terjejas ini melangkaui paras pra-pandemik,” katanya.

Beliau berkata, MPN juga telah mendengar taklimat Khairy mengenai situasi dan perkembangan terkini Covid-19.

“Walaupun terdapat peningkatan kes harian serta bilangan kemasukan wad hospital, strategi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan pemberian dos penggalak telah menunjuk keberkesanan daripada jangkitan lebih teruk,” katanya.

Menurutnya, MPN turut dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dalam proses akhir untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan negara untuk persetujuan Jemaah Menteri.

“Pengumuman pembukaan sempadan akan dibuat dalam masa yang terdekat,” katanya.

Beliau berkata, beberapa kertas cadangan turut dibentangkan hari ini iaitu cabaran pelaburan serta modal insan dalam pemulihan negara oleh Pengerusi British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC), Abrar A. Anwar.

“Mengenai tinjauan ekonomi Malaysia 2022 oleh Ketua Penyelidik, Malaysia Institue of Economic Research (MIER), Dr Shankaran Nanbiar.

“Dan mengenai status terkini gelembung pelancongan Langkawi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here