KOMPLEKS Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur menjadi tumpuan pagi ini berikutan pendengaran kes habeas corpus difailkan seorang ibu berbangsa Cina yang beragama Hindu, Low Siew Hong terhadap tiga anaknya yang diislamkan tanpa kebenaran.
Antara yang hadir di kawasan kompleks mahkamah itu adalah pemerhati, pertubuhan bukan kerajaan, Jabatan Agama selain petugas media dan penyokong kedua-dua belah pihak.
Selain itu, Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy serta beberapa pemimpin DAP turut berada dalam galeri mahkamah yang mana prosidingnya akan didengar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, lapor MalaysiaGazette.
Bagaimanapun bilangan individu yang dibenarkan dalam mahkamah dihadkan kepada mereka yang mempunyai pas berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Dilaporkan, wanita itu dan ketiga-tiga anaknya tidak kelihatan di bilik saksi.
Isnin lalu, Siew Hong, 34, membuat laporan polis meminta tiga anaknya itu diserahkan kepada beliau dengan mendakwa mereka ditahan seorang pendakwah wanita daripada NGO mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Beliau mendakwa, Jabatan Agama di Perlis telah menukar status agama bagi tiga anaknya tanpa kebenaran beliau.
Siew Hong juga mendakwa anaknya dilarikan ketika dia mendapatkan rawatan selepas dicederakan dan didera bekas suaminya, Nagahswaran Muniandy pada 2019.
Nagahswaran yang kini menjalani hukuman penjara akibat kesalahan berkaitan dadah dikatakan menukar agama tiga kanak-kanak itu kepada Islam tanpa kebenarannya.
Bagaimanapun, Mufti Perlis, Datuk Seri Mohd Asri Zainul Abidin mempertahankan akidah tiga orang kanak-kanak itu yang memeluk Islam secara sukarela walaupun masih mumaiyiz.
Media melaporkan Ramasamy meminta polis menyiasat keberadaan tiga kanak-kanak itu.
Ramasamy menyifatkan kes itu seolah mengulangi apa yang berlaku kepada anak-anak Indira Gandhi selepas bercerai dengan suaminya yang memeluk Islam. – Malaysiapost

