Bogel-membogel, sumpah laknat aibkan umat Islam – Ibrahim Ali 

0
1

PRESIDEN Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali menyifatkan situasi politik semasa negara ini semakin parah dan memalukan. 

Malah katanya, tindakan berbalas ‘serangan’ beberapa pemimpin politik kebelakangan ini memalukan umat Islam sehingga di manakah mereka menyorokkan air muka serta keaiban. 

“TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mendedahkan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) datang berjumpanya membawa fail bertimbun minta tolong selesaikan kes mahkamahnya.  

“Waduh malunya… Presiden Parti Keramat, Mahiadin sudah bogelkan Zahid. 

“Zahid menerima tempelak Mahiadin dan bertindak balas dengan cara menangkisnya. Zahid berkata beliau sanggup bersumpah laknat bagi menafikan bahawa tuduhan Mahiadin adalah fitnah dan tidak benar sama sekali. 

“Waduh… siapa yang berkata benar?,” soalnya menerusi kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut Ibrahim berkata, sebelum ini Muhyiddin dan Ahmad Zahid adalah kawan rapat, kawan seperjuangan dan kawan sesama dalam Umno. 

Namun katanya, apabila sudah bergaduh maka ‘membogelkan’ antara satu sama lain dalam keadaan rakyat masih tenat akibat Covid 19 dan pengurusan ekonomi yang gagal akibat salah guna kuasa dan rasuah.  

“Rakyat merintih dan menangis manakala pemimpin asyik bertengkar sampai bogel-membogel. Tidak ada rasa malukah dan di manakah nilai-nilai ajaran Islam serta adat budaya bangsa? 

“Mutakhir ini sudah bertimbun berita-berita jijik melibatkan banyak pemimpin bertaraf PM, menteri dan MB. Malu dan memalukan. 

“Mungkin sudah tiba masanya sebelum keadaan makin melarat, ada dalam kalangan ahli politik eloklah buat pemeriksaan kesihatan mental dan boleh berubat di Tanjung Rambutan dan di Tampoi, Johor,” katanya. 

Ini kerana kata Ibrahim, tahap kesihatan mental pemimpin-pemimpin  politik dan negara kini amat dikhuatiri dalam keadaan kritikal.  

Menurutnya, ia diukur daripada kenyataan-kenyataan dan ucapan-ucapan serta pelbagai pendedahan melalui media sosial. 

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia sudah pada tahap amat serius dan akan menjejaskan lagi kesejahteraan rakyat yang sudah pun tenat dan pastinya akan lebih tenat.  

“Wahai pemimpin-pemimpin Melayu, berhentilah memalukan bangsa sendiri. Perebutan kuasa ini tidak memberi apa-apa keuntungan pun kepada rakyat.  

“Berehatlah demi kesihatan diri dan kasihanilah rakyat. Terimalah nasihat dan keluhan ikhlas ini iaitu daripada seorang pejuang politik yang ada harga diri dan maruah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here