Pemuda Umno buat laporan polis terhadap Muhyiddin

0
1

PEMUDA Umno Bahagian Parit Sulong membuat satu laporan polis malam tadi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan ingin mendedahkan kedudukan kewangan negara.

Ketuanya, Fared Mohd Khaled, berkata maklumat kewangan negara adalah berkaitan maklumat sulit yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Menurutnya, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu bukanlah seorang daripada Menteri Kabinet atau Perdana Menteri Malaysia yang masih berkuatkuasa atau individu yang berhak dibekalkan dengan mana-mana maklumat sulit negara

“Tindakan dan kata-kata Presiden Bersatu tersebut kelihatan menjurus kepada ketidakpatuhan kepada dokumen rasmi negara yang dipercayai ianya tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972

“Pemuda Umno Bahagian Pt Sulong mendesak satu siasatan dimulakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk menyiasat kesahihan perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga meminta siasatan dilakukan kemungkinan terdapat percubaan untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan undang-undang yang lain, yang mana keadaan itu boleh mengundang mudarat kepada negara.

Muhyiddin ketika berucap di Majlis Pelancaran PN Johor, kelmarin berkata akan meminta laporan kewangan negara daripada Menteri Kewangan serta mendakwa akan mendedahkan bagaimana kedudukan sebenar kewangan negara.

Sebagai rekod bekas Perdana Menteri kelapan itu dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara yang bertaraf Menteri pada September 2021.

Pelantikan itu dipersetujui oleh Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 1 September 2021 dan disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here