PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pelbagai tohmahan mengenai pemimpin Umno akan muncul setiap kali menjelang pilihan raya termasuk terbaharu isu ‘membawa fail’ atau meminta rundingan.
Menurut beliau, jika tiada Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) maka semua cerita tersebut seperti tidak perlu didedahkan.
“Jika tidak ada pilihan raya, tidak keluar apa-apa cerita. Tiada fail, tiada rundingan. Sekali pun pada masa tersebut, si penjaja cerita memegang jawatan tertinggi dalam negara.
“Dalam cerita-cerita ini, prinsipnya mudah – kebenaran itu berpilih-pilih. Perkara yang dianggap jahat dan menyalahgunakan kuasa hanya akan menjadi salah dan jahat jika tidak menyebelahi pihak mereka,” katanya di hantaran Facebook.
Ahmad Zahid berkata, umum mengetahui sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu berkuasa, beberapa siri tekanan telah diberikan.
“Antaranya Umno mesti menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak, dan saya sendiri serta mana-mana pemimpin yang berselisih secara peribadi dengan mana-mana pemimpin PH dan Bersatu.
“Pemimpin-pemimpin Umno mesti dituduh dan didakwa sebanyak mungkin, mesti membuktikan mereka bersih dan tidak bersekongkol dengan kejahatan dengan cara membubarkan Umno sepenuhnya.
“Pemimpin Umno mesti mengelakkan diri dari disiasat dengan membawa masuk seramai mungkin ahli dan pemimpin ke dalam Bersatu serta dianggap sebagai terus bersalah sekalipun pendakwaan atau perbicaraan mahkamah masih berjalan,” katanya.
Menurutnya, jika pemimpin berpihak kepada mereka dianggap bukan ‘kluster mahkamah’ dan prinsip ‘innocent until proven guilty’ terpakai kepada mereka, tetapi tidak kepada pemimpin Umno.
“Jadi, saya tidak pelik. Cerita pemimpin Umno bawa fail, merayu, berunding atau apa sahaja. Semua itu akan terus keluar. Dan percayalah, saya memberi ‘spoiler’ awal di sini. Selepas ini pasti akan lebih banyak cerita.
“Kita tunggulah selepas penamaan calon dan tempoh berkempen dalam PRN Johor nanti. Pelbagai cerita pemimpin Umno akan terus dijaja.
“Strategi mereka, jika tidak boleh menyerang calon-calon Umno di Johor, alihkan perhatian ke drama di peringkat nasional. Ayuh, ambil popcorn, kita tunggu episod seterusnya,” katanya.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), kelmarin mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa Ahmad Zahid pernah membawa timbunan fail untuk meminta campur tangan dalam kes mahkamah yang dihadapinya.
Menurutnya pada ketika itu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh menjadi saksi beliau sekiranya ada pihak yang cuba menafikan dakwaan tersebut. – Malaysiapost

