PARTI Keadilan Rakyat sudah menutup segala rundingan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menumpukan kepada usaha pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata parti itu sudah mengumumkan semua 20 calon parti dan tiada lagi pembahagian kerusi dengan mana-mana pihak, lapor BH Online.
Jelasya, sikap mengugut dan mengancam antara satu sama lain seperti disuarakan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman harus diketepikan kerana kedua-duanya mempunyai objektif sama iaitu menewaskan parti pemerintah.
“Jadi tak perlulah kata kalau kita tak boleh runding dengan PKR, kita akan langgar (berlaku pertindihan kerusi). Saya rasa itu sikap yang tidak betul.
“Kita perlu ada ‘gentleman’s understanding’ (persefahaman budiman) walaupun kita bukan rakan dalam PH. Atas dasar itu, saya rasa tak perlulah membuat kenyataan menyatakan MUDA akan ‘langgar’,” katanya.
Beliau juga berharap MUDA tidak berterusan mempersoalkan perkara itu, sebaliknya tampil bersama PH untuk saling membantu di kawasan ditandingi.
“PKR akan memberi tumpuan di 20 kerusi ditandingi manakala MUDA perlu memastikan kerusi yang diperoleh daripada AMANAH dan DAP tidak dipersiakan.
Semalam, Syed Saddiq dilaporkan berkata, perbincangan antara pihaknya dengan PKR gagal mencapai kata sepakat, selain membayangkan kemungkinan berlaku pertindihan kerusi dengan PKR. – Malaysiapost

