BERMAIN dalam aksi kompetitif futsal lima hari selepas pemergian ibu tersayang, bukan sesuatu yang mudah buat pemain Negeri Sembilan, Muhammad Sufri Shamil.
Ibunya, Masitah Yahya meninggal dunia dalam kemalangan beberapa jam selepas menonton Muhammad Sufri dan rakannya menewaskan Kuala Lumpur City FC, 7-2 dalam Liga Futsal Kebangsaan di Kompleks Sukan Shah Alam Panasonic pada 14 Februari lalu.
Muhammad Sufri menerusi instagramnya turut berkongsi gambar kenangan ibunya menyaksikan dirinya beraksi buat kali terakhir.
Selepas melalui episod menyedihkan itu, Muhammad Sufri kembali beraksi bersama skuad Negeri Sembilan dalam perlawanan menentang Terengganu hari ini yang berkesudahan pasukannya menang 6-0.
Dalam perlawanan itu, pemain semakin meningkat naik itu berjaya menjaringkan satu gol dan dirinya sebak ketika meraikan jaringan yang dedikasikan kepada ibunya.
Tambah memilukan apabila ada penonton membawa plakad tertulis ‘Mama tengok dari syurga. Al-Fatihah’ yang merujuk kepada kecintaan Masitah melihat anaknya bermain futsal sehingga akhir hayatnya. – Malaysiapost

