Mengapa ceramah PN boleh 2,000 orang sebelum kempen rasmi, Guan Eng soal SPR

0
1

DAP mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengamalkan sikap dwistandard terhadap pembangkang dalam membenarkan ceramah politik sedangkan Perikatan Nasional (PN) sudah pun bermula sebelum tempoh dibenarkan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata PN mengadakan perhimpunan dengan kehadiran 2,000 orang di Kota Tinggi, Johor semalam.

Mengikut peraturan SPR untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, ceramah dihadkan kepada hanya 100 orang di pusat gerakan parti apabila kempen secara rasmi bermula pada 26 Feb.

“Adalah tidak masuk akal dan tidak logik bahawa majlis dengan 2,000 hadirin yang diadakan secara terbuka oleh PN dibenarkan sebelum hari penamaan calon, tetapi parti pembangkang tidak boleh melakukan perkara sama semasa tempoh berkempen selepas hari penamaan calon.

“Adakah SPR mendengar nasihat profesional dalam melarang ceramah di kawasan terbuka atau awam walaupun pendapat pakar mengenai kawasan lapang mempunyai risiko penularan Covid-19 yang lebih rendah berbanding ruang dalam, disebabkan pengudaraan yang lebih baik?

“SPR tidak seharusnya mendengar ‘nasihat politik’ tetapi bersikap bebas dan mengekalkan sikap berkecuali bagi mengelak dilihat memihak kepada parti pemerintah BN dan PN serta menentang parti pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mengikut laporan media, perhimpunan PN semalam dihadiri pemimpin parti komponen yang memenuhi padang berbumbung. Gambar acara menunjukkan bahawa pemimpin tertinggi melanggar peraturan penjarakan fizikal di bawah khemah.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada majlis itu mengakui dia dijangkiti Covid-19 minggu lepas tetapi telah pulih sepenuhnya.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan kompaun RM1,000 setiap seorang termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran kerana melanggar SOP Covid-19 pada satu majlis lain anjuran MIC.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here