Tiada siapa pernah didakwa kritik PM, menteri ketika PH mentadbir – Guan Eng

0
1

TIADA mana-mana individu pernah didakwa di bawah undang-undang siber kerana mengkritik Perdana Menteri, barisan menteri atau parti politik ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata kerajaan PH tidak pernah mengambil tindakan sebegitu tidak kira betapa palsu dan tidak adilnya kritikan itu, termasuk serangan berbaur perkauman dan ekstremis yang tidak berasas.

“Walaupun terdapat ancaman siber terhadap keselamatan peribadi Menteri PH dibuat, tiada tindakan yang diambil daripada pihak berkuasa.

“DAP menggesa dakwaan ini ditarik balik untuk menunjukkan bahawa Malaysia menghormati kebebasan internet daripada campur tangan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau itu bagi mengulas kes pelukis grafik dan aktivis masyarakat, Fahmi Reza yang dibicarakan atas dakwaan menggunakan akaun Twitternya secara tidak wajar dengan membuat ciapan yang didakwa menghina terhadap seorang menteri baru-baru ini.

Dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Sementara itu, Guan Eng membidas kerajaan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional yang begitu rapuh dengan seorang pelukis grafik sehingga kekuatan dan kuasa jentera kerajaan sepenuhnya digerakkan berkali-kali menentang Fahmi Reza.

“Menteri dan parti politik yang memerintah harus menggunakan kuasa mereka untuk melindungi orang awam dan tidak bergantung kepada kuasa kerajaan untuk melindungi diri mereka daripada kritikan awam.

“Jelas sekali ruang awam untuk kritikan dan kebebasan bersuara dengan perlahan akan hilang di bawah rejim ekstremis yang tidak mempedulikan demokrasi dan bahaya rasuah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here