PM: Jadikan perbezaan kaum rapatkan hubungan, harungi pelbagai cabaran

0
1

PERDANA Menteri mahu perbezaan di antara kaum dijadikan sebagai kelebihan untuk merapatkan hubungan antara rakyat Malaysia untuk mengharungi cabaran yang terbukti ketika penularan Covid-19.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sikap toleransi dan saling memahami tentang agama, adat serta budaya sudah lama terjalin di Malaysia.

Menurutnya, sikap itu membolehkan rakyat Malaysia dapat hidup aman sekali gus menterjemahkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran hidup sebagai Keluarga Malaysia.

“Kita telah menyaksikan seluruh Keluarga Malaysia, ketika berdepan saat sukar seperti pandemik Covid-19, berganding bahu menyumbang untuk memulihkan semula negara.

“Tidak kira apa jua bangsa dan agama, kita saling menyokong dan membantu antara satu sama lain,” katanya yang meluahkan keyakinan tahun 2022 akan membawa sinar kepada Malaysia.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada majlis resepsi Tahun Baharu Cina di Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor malam tadi.

Beliau berkata nilai kebersamaan dan permuafakatan sedia ada juga menyerlahkan imej Malaysia sebagai sebuah negara kaya dengan warisan seni dan budaya.

Jelasnya, atas sebab itu beliau ketika melancarkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2020- 2030 pada Oktober tahun lalu, menekankan kepada perspektif mengangkat kebudayaan dalam konteks pencapaian peradaban dan tamadun.

“Inilah menjadi kebanggaan sebuah negara maju yang berjaya menzahirkan khazanah tinggalan tamadun sebagai aset warisan negara dan pulangan pendapatan negara sebagai tarikan pelancongan,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here