PKR menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera mengumumkan jumlah sebenar pengundi Johor yang telah mendaftar sebagai pengundi pos, mengikut negara di mana mereka berada.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau mengikuti beberapa laporan berita menyatakan ramai pengundi Johor di luar negara khususnya di Singapura masih belum mendaftar sebagai pengundi pos.
Malah katanya, berdasarkan satu laporan media, dianggarkan cuma 1 peratus dari jumlah pengundi Johor di Singapura telah mendaftar setakat dua hari lalu.
“Saya lihat SPR mempunyai peranan amat penting terutama dalam memastikan pengundi yang layak mengundi diberikan hak tersebut, termasuk bagi yang berada di luar negara.
“Ini antara tugas hakiki SPR, demi memastikan proses demokratik berjalan dengan lancar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu Saifuddin menggesa SPR untuk melanjutkan tempoh pendaftaran, memudahkan proses dan lebih proaktif dalam kempen pendaftaran undi pos termasuk di media sosial.
Menurutnya, tempoh sembilan hari yang telah diberi SPR ini amat singkat dan wajar dilanjutkan agar mereka yang layak dan berhak dapat mendaftar serta melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai warga negara.
“Dalam keadaan pandemik yang belum reda ini, proses demokrasi tidak harus “dikuarantin” atau dijadikan mangsa kerenah birokrasi,” katanya. – Malaysiapost

