PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) perlu belajar menghormati keputusan dan pendirian PKR berhubung kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Naib Ketua Wanita PKR, Faizah Ariffin berkata partinya sentiasa terbuka untuk berunding dan jika tiada sebarang keputusan dicapai, maka pendirian parti adalah menghormati keputusan tersebut.
“Tetapi MUDA seperti melepaskan dendam atas kegagalan rundingan tersebut untuk bertembung dengan calon PKR sahaja tetapi tidak dengan kerusi Warisan, Pejuang, BN atau PN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Faizah menegaskan, PKR juga boleh bertindak seperti MUDA yang sememangnya bukan gabungan Pakatan Harapan (PH) dengan meletakkan calonnya di setiap DUN yang ditandingi parti itu.
“Jika itu hasrat mereka, maka saya berpandangan untuk PKR juga perlu meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh MUDA terutamanya Puteri Wangsa.
“MUDA bukanlah gabungan Pakatan Harapan dan saya kira tiada masalah untuk bertemu sesama sendiri di gelanggang sebenar,” katanya.
Terdahulu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui kemungkinan calon partinya bertembung calon PKR pada PRN Johor nanti.
Ini berikutan, rundingan antara MUDA dan PKR masih menemui jalan buntu dalam pembahagian kerusi DUN sekali gus mengelak berlakunya pertindihan calon pembangkang pada setiap DUN yang ditandingi.
Sebelum ini, MUDA mencapai kata sepakat dan diberi laluan oleh DAP dan Amanah untuk bertanding di enam kerusi DUN pada PRN Johor.
“Pesanan saya, jika mahu bersahabat maka kita terbuka. Jika mahu berlawan, ayuh kita ke gelanggang!,” kata Faizah. – Malaysiapost

