ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) kesal apabila mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai Kewangan dan Ekonomi bersama Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang sepatutnya diadakan semalam, ditangguhkan.
Mesyuarat itu pada mulanya dijadualkan berlangsung bagi membincangkan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua AMK yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata pihaknya kesal kerana ini kali kedua mesyuarat PSC untuk membincangkan isu saham Azam ditangguhkan.
“Bayangkan, satu Malaysia sudah marah dan sangsi, anak-anak muda turun ke jalan raya tuntut pengunduran Azam Baki, tapi tak ada apa pun yang terjadi kepada dia sekarang.
“Entah kuasa Avengers apa yang lindungi dia pun tak tahu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sehubungan itu Akmal berkata semua pihak perlu terus mendesak, tuntut dan melawan penyelewengan, rasuah serta korupsi.
“Yang penting kita jangan mengalah,” katanya lagi.
Semalam Ahli Jawatankuasa PSC, Wong Chen dilaporkan berkata beliau berharap mesyuarat berkenaan dapat diadakan sebelum Dewan Rakyat bersidang pada 28 Februari nanti. – Malaysiapost

