TINDAKAN Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘menyerang’ Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ini tidak akan membuatkan rakyat percaya Bersatu lebih baik daripada Umno.
Perkara itu dinyatakan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim susulan ‘serangan’ Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu terhadap kepimpinan Umno, khususnya Ahmad Zahid kebelakangan ini.
“Mahiaddin (Muhyiddun) boleh mendedahkan dan mengaibkan Zahid Hamidi 24 jam sehari ia tidak akan membuatkan orang ramai percaya bahawa Bersatu lebih bersih daripada Umno,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Baru-baru ini media melaporkan, Muhyiddin mendakwa pemimpin Umno mempunyai agenda tersendiri ketika menyokong pembentukan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Mac 2020.
Muhyiddin berkata, perkara tersebut hanya diketahuinya selepas beberapa hari beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri apabila menerima kunjungan Ahmad Zahid.
“Beberapa hari selepas saya dilantik menjadi Perdana Menteri, Zahid datang ke rumah saya semasa saya sedang berbincang dengan (Tan Sri) Abdul Hadi Awang, bawa satu fail bertimbun-timbun (dokumen).
“Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada saya dan kata Tan Sri ini fail saya. Saya tanya dia buat apa bawa dan dia kata Tan Sri tolonglah, saya tidak buat apa-apa (kesalahan),” katanya. – Malaysiapost

