PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pendekatan GERAKAN untuk menampilkan calon memiliki perwatakan fizikal dan rupa paras menarik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebagai berfikiran kuno.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, berkata adalah amat mengejutkan apabila parti politik gabungan Perikatan Nasional (PN) boleh berfikiran sedemikian menjelang PRN Johor, 12 Mac ini.
“(GERAKAN) mengumumkan akan hanya menampilkan calon yang mempunyai tarikan fizikal dan rupa paras menarik.
“Rupa paras calon lelaki yang kacak dan calon wanita yang cantik dikatakan penting untuk dapat undi rakyat Johor,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Ahmad Zahid, pendekatan GERAKAN yang mengeksploitasi paras rupa calon kerana yakin akan mendapat undi, dilihat merendah-rendahkan Bangsa Johor.
“Seolah-olah menganggap begitu miskin kualiti pemikiran orang Johor dalam menilai calon berwibawa.
“Juga seolah-olah mengajak rakyat Malaysia ke arah kebelakang dalam nilai kehidupan mereka.
“Serendah itukah nilai politik Malaysia cuba diterap oleh lawan BN?,” soalnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sejak sekian lama umat manusia dididik supaya tidak mendiskriminasi paras rupa, namun GERAKAN bertindak sebaliknya.
“BN jika ada calonnya yang menarik paras rupa merupakan suatu kebetulan kerana itu tidak pernah menjadi kriteria.
“Calon BN mempunyai ciri ‘wali’ iaitu ‘winnable’, ‘acceptable’ dan ‘likeable’ yang berkaliber dan berdaya.
“Mampu memberi perkhidmatan terbaik pada setiap masa dan tempat tanpa mengira kecantikan dan kehenseman mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, paras rupa kacak dan cantik tidak bermakna lelaki dan wanita itu lebih baik berbanding yang kurang rupawan.
“Begitu juga sebaliknya. Kecantikan dan kekacakan tidak mencerminkan nilai insan.
“Adakala yang kurang menarik paras rupa itu yang kacak dan cantik pekertinya. Inilah kekacakan dan kecantikan sejati yang tidak akan pudar.
“Kerana itu sudah lama wujud kata-kata ‘don’t judge a book by its cover’ dalam ilmu keinsanan,” katanya.
Sebelum ini, GERAKAN mengumumkan bakal menampilkan calon yang memiliki perwatakan fizikal dan rupa paras menarik pada PRN Johor.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, faktor itu penting kerana PRN Johor dijangka akan diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang menyebabkan kurang interaksi bersemuka antara calon dan pengundi.
Menurutnya, rupa paras seperti calon lelaki yang kacak dan calon wanita yang cantik penting untuk menawan hati pengundi. – Malaysiapost

