“SAYA bukan asnaf. Saya tahu Lembaga Zakat Selangor (LZS) mahu ringankan beban tetapi saya boleh lagi keluar bekerja,” kata Pelawak, Ebby Yus.
Ebby, 56, yang ditimpa musibah selepas rumahnya yang hampir siap di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat dihanyutkan banjir dalam kejadian Disember lalu, bertegas menolak bantuan LZS.
Jelasnya, masih ramai lagi mangsa banjir yang memerlukan bantuan berkenaan, selain menyifatkan dirinya masih mempunyai kudrat untuk bekerja.
“Jadi biarlah LZS bantu mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya seperti dilaporkan SelangorKini.
Ebby, atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, bagaimanapun menerima bantuan RM56,000 daripada kerajaan persekutuan dan RM1,000 Bantuan Selangor Bangkit (BSB).
Dia yang kini menyewa di Kampung Baru, Kuala Lumpur menjelaskan rumahnya di tepi Sungai Lui, Hulu Langat dijangka dapat disiapkan empat bulan lagi.
“Alhamdulillah. Memang rumah baharu ini tidak sama dengan rumah lama tetapi sudah mencukupi. Rumah didirikan di tapak sama cuma jauh sedikit dari sungai,” katanya.
Rumah impiannya yang hampir siap musnah dihanyutkan bah pada 18 Disember tahun lalu menyebabkan beliau kerugian hampir RM200,000. – Malaysiapost

