BERSATU menanam tekad untuk menguburkan Umno di negeri kelahiran parti itu sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ia sekali gus akan menafikan hasrat Barisan Nasional (BN) yang kini giat membunuh karakter Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, lapor Utusan Malaysia.
Ini kerana katanya, ketika ini terdapat usaha digerakkan Umno dan BN yang mahu mencalarkan imej serta kredibiliti Muhyiddin menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kita faham kehendak Umno adalah kuburkan Bersatu di Johor tetapi di peringkat kita pula, kita nak Umno dikuburkan di negeri mereka dilahirkan.
“Strategi digunakan Umno ini adalah pembunuhan karakter. Bagi mereka disebabkan Presiden Umno seorang yang diragui kredibilitinya dan menghadapi pelbagai kes mahkamah.
“Dalam keadaan tiada pilihan, itulah Presiden yang mereka ada. Jadi mereka perlu pastikan Presiden parti lain juga dianggap tidak bersih.
“Saya tidak peliklah Umno dan BN nak membunuh karakter Muhyiddin ini sebab tiada pilihan,” katanya.
Bagaimanapun menurut Wan Saiful, tindakan pembunuhan karakter direncanakan Umno adalah langkah terdesak kerana Muhyiddin mempunyai rekod bersih.
“Macam saya cakap dalam ceramah tadi, kalau ditampal gambar (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi sebelah Tan Sri (Muhyiddin), saya rasa orang akan gelakkan sahaja jika nak buat perbandingan itu.
“Jadi ini peluang kita dan rakyat untuk tunjukkan kepada Umno yang sudah itu sudahlah. Kita dalam Perikatan Nasional (PN) fokus untuk pastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik,” katanya. – Malaysiapost

