Tiada masalah jentera PKR bantu MUDA di Puteri Wangsa – Napsiah

0
1

PKR mengesahkan akan terus membantu calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan berkata, jentera partinya telah bersiap sedia untuk menghulurkan kerjasama menggerakkan jentera gabungan pembangkang di Puteri Wangsa.

“Kami tunggu lampu hijau daripada jentera MUDA di situ. Jika perlukan bantuan kami, beritahu sahaja dan kita akan bantu.

“Kami tetap profesional, lagipun rundingan dah selesai dan semua pihak pun bersetuju dengan percaturan yang dibuat. Tiada masalah PKR bantu MUDA di Puteri Wangsa.

“Yang penting matlamat kita tetap sama, nak menang PRN, dan pastinya semua jentera gabungan pembangkang perlu memastikan matlamat itu tercapai dengan gerak kerja tersusun dan sistematik,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Semalam, MUDA menamakan Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd Aziz bertanding di DUN Puteri Wangsa.

Sebelum ini, PKR mempertikai tindakan parti Amanah menyerahkan kerusi DUN berkenaan kepada MUDA.

PKR yang menyifatkan Puteri Wangsa sebagai kerusi boleh menang terkilan dengan tindakan Amanah yang sebelum itu bersungguh-sungguh mahu bertanding di DUN berkenaan yang menyebabkan mereka terpaksa akur.

Pada pilihan raya umum lalu, DUN Puteri Wangsa dimenangi calon Pakatan Harapan daripada Parti Bersatu, Mazlan Buang dengan majoriti 24,959 dalam pertandingan lima penjuru.

Mazlan, yang juga bekas Pengerusi Bersatu Johor, umum keluar parti pada 27 Januari lalu, atas alasan tidak percaya kepada kepimpinan Presiden Bersatu, yang juga bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here