PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin dengan kewibawaan Amira Aisya Abd Aziz yang dipilih sebagai calon partinya untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, Setiausaha Agung MUDA itu, adalah penggerak parti sejak ia ditubuhkan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) beralih kuasa susulan ‘Langkah Sheraton’.
“Bermula dari situlah, Amira jadi penggerak MUDA. Amira jadi Setiausaha Agung dan berkhidmat untuk MUDA kepada negara.
“Dari MUDA hanya berbelas-belas ahli sehingga dah lebih 70,000 ahli – Amira bersama MUDA,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Syed Saddiq berkata, beliau tahu Amira susah hati apabila dicalonkan dalam PRN Johor kerana Amira takut pada amanah yang besar kepada rakyat Johor.
“Saya pesan kepada Amira – Amira dah lalui macam-macam ujian. Amira anak kedua dari empat adik beradik, ayah Amira meninggal waktu Amira berusia 12 tahun. Walaupun begitu, Amira dah cekal lalui cabaran hidup sampai hari ini.
“Sama juga dengan MUDA. Dari MUDA tak berdaftar sampai hari ini bertanding dalam PRN Johor, Amira masih cekal bawa tanggungjawab untuk MUDA dan negara,” katanya.
Beliau percaya calon yang dipilih itu adalah cerminan sebenar MUDA yang mahu negara ini dipimpin baik, yang mengangkat politik khidmat dan dasar.
“Saya dan seluruh ahli MUDA ucapkan selamat maju jaya kepada Amira Aisya, calon DUN Puteri Wangsa N41 untuk PRN Johor. Jagalah amanah rakyat Johor walau apapun cabaran dan ujian untuk Amira.
“Jalan tegak, Amira!,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq mengumumkan Amira yang berusia 27 tahun sebagai calon bagi kerusi DUN Puteri Wangsa malam tadi.
Selain Puteri Wangsa, Muda yang bekerjasama dengan PH turut diberi laluan oleh Amanah dan DAP untuk bertanding di lima kerusi lain iaitu DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap dan Bukit Permai. – Malaysiapost

