Langgar SOP bukan jenayah – PM

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob menegaskan bahawa melanggar prosedur operasi standard (SOP) adalah bukan kesalahan jenayah.

Menurutnya, tidak perlu untuk meletakkan jawatan jika dikompaun atas kesalahan melanggar SOP.

“Langgar SOP bukan jenayah. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah keluarkan kompaun. 

“Jika siapa yang kena kompaun letak jawatan, saya rasa tidak ada sesiapa yang boleh bekerja selepas ini, semua orang letak jawatan,” katanya kepada media, hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang berpendapat Datuk Seri Hishammuddin Hussein perlu meletakkan jawatan Menteri Kanan Pertahanan kerana telah dikompaun atas kesalahan melanggar SOP semalam.

Menurut wakil rakyat DAP itu, kesalahan Hishammuddin yang didapati melanggar SOP pada majlis persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor anjuran MIC Johor adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

Jelas Hannah, mengenakan kompaun sahaja tidak mencukupi terutama untuk seorang Menteri Kanan yang duduk di barisan Eksekutif dan pernah dilihat menghisap vape dalam Parlimen yang diisytihar kawasan larangan merokok.

Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) yang hadir ke pelancaran Briged MIC dikompaun atas kesalahan melanggar SOP. 

Khairy mengarahkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kompaun terhadap Hishammuddin; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here