Jumlah warga emas meningkat, peratusan umur muda menurun – PM 

0
1

JUMLAH warga emas berusia 60 tahun ke atas di negara ini meningkat 1.2 juta dalam tempoh 12 tahun lalu, menurut bancian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah warga emas di Malaysia kini 3.4 juta atau 10.5 peratus daripada jumlah penduduk, berbanding 2.2 juta atau 8 peratus pada 2010. 

Menurutnya, daripada 32.4 juta penduduk Malaysia, 6.8 peratus adalah 65 tahun dan ke atas manakala 69.3 peratus adalah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun). 

“Umur muda menunjukkan penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 24 peratus pada 2020,” katanya ketika Majlis Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 di MSU, Shah Alam hari ini. 

Beliau berkata, bagi penduduk mengikut etnik, peratusan Bumiputera mencatatkan yang tertinggi iaitu sebanyak 69.4 peratus. 

“Ia diikuti etnik Cina (23.2%), India (6.7%) dan Lain-lain (0.7%) 

“Manakala penduduk mengikut jantina, daripada 32.4 juta penduduk, 52.3 peratus ialah lelaki manakala 47.7 peratus ialah perempuan. Nisbah Jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita. 

“Negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Putrajaya, 100 wanita bersamaan 96 lelaki,” katanya. 

Beliau berkata, penduduk mengikut kewarganegaraan pula menunjukkan 91.7 peratus iaitu 29.8 juta adalah warganegara manakala 8.3 peratus iaitu 2.7 juta adalah bukan warganegara. 

Tambahnya, penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun. 

“Dari segi tempat kediaman, sebanyak 9.6 juta telah dibanci. Terdapat 8.2 juta Isi Rumah (IR) dengan Purata Saiz IR persendirian adalah sebanyak 3.8,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here