PENCALONAN semula Mohd Khuzzan Abu Bakar di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menimbulkan protes di kalangan segelintir ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam majlis pengumuman calon bagi wilayah Utara malam tadi.
Sebaik sahaja Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Mohd Khuzzan untuk mempertahankan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, ada ahli parti mengangkat kertas tertulis “N17 Semerah Menolak Khuzzan’.
Anwar yang melihat situasi itu cuba menenangkan keadaan dan meminta Mohd Khuzzan supaya menyelesaikan pertikaian terbabit dengan segera.
“Kita dah buat keputusan, sila hormat keputusan.
“Saya berharap Khuzzan boleh ambil iktibar untuk cuba santuni pihak tidak berpuas hati,” katanya.
Pengumuman itu disiarkan secara langsung di Facebook rasmi PKR. Anwar turut mengumumkan calon PRN Johor bagi kerusi Bukit Naning, Gambir, Sungai Balang, Buloh Kasap, Sri Medan dan Pemanis.
Sementara itu, Mohd Khuzzan ketika ditemui pemberita berkata protes itu tidak mewakili pandangan dan pendirian ahli PKR di kawasan terbabit yang kebanyakkannya menyokong beliau untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
“Pilihan raya lalu begini juga. Sebenarnya mereka yang datang sokong lebih ramai berbanding protes,” katanya.
Pada pilihan raya umum lalu, Mohd Khuzzan menang kerusi DUN Semerah dengan majoriti 98 undi.-Malaysiapost

