Peruntukan RM10 juta bagi PPP warga luar bandar – Mahdzir

0
1

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan RM10 juta bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) tahun ini. 

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata antara program yang diadakan termasuk Bantuan Warung Desa@KPLB yang dilaksanakan di Padang Terap, Kedah.

“Program tersebut merupakan pemberian bantuan peralatan dan latihan kepada kumpulan B40 di luar bandar bagi meningkatkan pendapatan semasa, seterusnya membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan.

“Program itu juga bagi membantu usahawan kecil memiliki kios sendiri untuk menjalankan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Warung Desa@KPLB, hari ini.

Jelas Mahdzir, PPP adalah program pemberian bantuan peralatan serta latihan kepada kumpulan B40 di luar bandar bagi meningkatkan pendapatan semasa dan seterusnya keluar daripada zon kemiskinan.

Katanya, kadar bantuan peralatan maksimum RM10,000 diberikan kepada setiap peserta. 

“Tahun ini KPLB akan meneruskan fokus kepada kaedah mentor mentee bagi meningkatkan kelangsungan aktiviti ekonomi penerima bantuan.

“Tahun lalu, seramai 564 orang terpilih menerima bantuan PPP di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, bagi bantuan PPP tahun ini, Mahdzir berkata, ia dilaksanakan menerusi agensi-agensi KPLB seluruh negara termasuk Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kedah, dengan sasaran 950 peserta.

Ini termasuk pemberian bantuan WarungDesa@KPLB  yang dianggar melibatkan 300 orang penerima dengan peruntukan RM2 juta.

Bagi fasa pertama, seramai 15 orang usahawan menerima bantuan Warung Desa@KPLB KEDA dengan nilai bantuan berjumlah RM75,000.

“Program bantuan Warung Desa@KPLB di bawah KEDA ini antara program bantuan yang dilihat mampu memberi impak positif kepada Program Peningkatan Pendapatan.

“Pada tahun ini program Warung Desa@KPLB sedang dilaksanakan di dua daerah iaitu di Padang Terap dan di Sungai Petani sebagai permulaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here