PENGARUH Pakatan Harapan (PH) tidak menurun, sebaliknya prestasi buruk parti itu dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana peratusan keluar mengundi rendah, kata Dr Maszlee Malik.
Menurutnya, cakap-cakap mengenai penurunan pengaruh PH tidak boleh diambil kira kerana fakta menunjukkan peratusan keluar mengundi pada PRN Melaka dan Sarawak terlalu rendah berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“Kalau kita lihat apa yang berlaku mereka lihat kepada keputusan pilihan raya di Melaka dan Sarawak. Di kedua-dua pilihan raya tersebut nisbah keluar mengundi begitu rendah,” katanya dipetik FMT.
Mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan PH gagal menarik pengundi pada PRN Melaka dan Sarawak, beliau menegaskan tanggapan itu tidak benar.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menjelaskan, antara faktor berkenaan membabitkan SOP pengundian, selain kurangnya rasa minat rakyat terhadap pilihan raya ketika rakyat fokus membangunkan semula ekonomi dan sosial yang terjejas ketika pandemik Covid-19.
Jelasnya, ketika waktu berkenaan, untuk mereka memikirkan soal politik menjadi perkara kedua kerana yang paling utama adalah menyediakan makanan di atas meja.
Katanya, rakyat ketika itu mahu memastikan mereka boleh terus hidup, memiliki wang yang cukup untuk membayar hutang apabila moratorium tamat penghujung bulan ini.
“Kalau kita lihat komen-komen di media sosial, semua marah pada kerajaan, semua marah pada BN. Semua marah harga barang naik, semua marah harga ayam naik…turunkan RM0.20, harga telur dan sebagainya. Semua marah ‘double standards’ (penguatkuasaan SOP).
“Tetapi bila berlaku pilihan raya kenapa yang marah-marah ini tak keluar mengundi seperti yang disebutkan kerana mereka sedang bergelut dengan kehidupan,” katanya.
Kekalahan besar di PRN Melaka, disusuli PRN Sarawak, mencetuskan persoalan berhubung masa depan gabungan terbabit, terutama menjelang PRN Johor, 12 Mac ini.
Maszlee dijangka bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, pada PRN Johor, selain dicanangkan bakal dilantik Menteri Besar jika PH menang pada PRN Johor. – Malaysiapost

