TINDAKAN DAP, Amanah dan PKR yang sanggup menyerahkan sembilan kerusi kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, membuktikan sayap pemuda ketiga-tiga parti itu telah gagal.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tindakan itu juga secara tidak langsung diibaratkan sebagai ‘pengakuan’ ketiga-tiga parti itu berhubung perkara tersebut.
Katanya, ketiga-tiga parti itu juga terpaksa menumpang imej MUDA untuk dilihat ‘muda’ di kalangan pengundi Johor.
“DAP, Amanah dan PKR menumpang imej MUDA untuk dilihat muda.
“Sebab itu mereka sanggup serah 9 kerusi kepada MUDA. Itu pengakuan iaitu sayap Pemuda PH seperti AMK dan DAPSY adalah gagal.
Semalam, media melaporkan MUDA diperuntukkan enam kerusi, hasil rundingan bersama antara Amanah dan DAP Johor.
Dalam kenyataan bersama antara Amanah, DAP dan MUDA, keputusan itu berjaya dicapai selepas beberapa siri rundingan untuk pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Johor.
Menerusi rundingan itu MUDA diperuntukan enam kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
Sementara itu, PKR menawarkan tiga kerusi kepada MUDA dalam mendepani PRN Johor pada 12 Mac nanti.
Sebelum ini, MUDA dilaporkan perlu mengemukakan dahulu senarai 10 kerusi yang akan ditandingi dalam PRN Johor, sebelum keputusan muktamad mengenainya dibuat. – Malaysiapost

