PRN Johor diadakan pada 12 Mac

0
1

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

“Satu Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Negeri tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Abdul Ghani memaklumkan, tarikh keluar writ ialah pada 9 Febuari.

Katanya, SPR melantik 56 pegawai pengurus pilihan raya di bantu 186 penolong bagi melaksanakan PRN kali ini.

“Manakala, bagi memantau semua kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi, SPR akan menubuhkan 56 pasukan petugas penguat kuasa kempen pilihan raya yang dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon bertanding.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah daftar pemilih induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari 2022,” katanya.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Pada hari sama, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here