KERAJAAN menambahbaik Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) yang terkesan akibat bencana alam itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya komited menyediakan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif bagi meringankan beban rakyat yang terjejas susulan bencana banjir yang melanda negara.
“Justeru, mengambil kira cabaran PMKS yang terkesan ekoran banjir untuk memulihkan perniagaannya dan beroperasi semula, kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik bantuan kepada perniagaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memberi geran bernilai RM3,000 melalui TEKUN Nasional kepada setiap perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan peruntukan disediakan sebanyak RM50 juta yang bakal memanfaatkan lebih 15,000 perniagaan mikro dan informal.
“Kedua, dana tambahan RM50 juta akan disediakan melalui Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah TEKUN Nasional khusus untuk perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan pinjaman mikro sehingga RM10,000 tanpa faedah di mana tempoh bayar balik adalah sehingga 5 tahun dengan moratorium 12 bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, dana sebanyak RM100 juta juga akan disediakan melalui Program SME Emergency Fund (SMEEF) di bawah SME Corp untuk PKS terjejas, pinjaman sehingga RM100,000 tanpa faedah di mana tempoh bayar balik adalah sehingga 5 tahun dengan moratorium 12 bulan.
“Keempat, dalam sektor pertanian, sehingga kini jumlah kerugian yang dilaporkan kesan daripada bencana banjir pada bulan Disember 2021 adalah sebanyak RM91 juta dan jumlah bantuan yang telah disalurkan adalah sebanyak RM21 juta,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga telah meluluskan bantuan tambahan kepada pengusaha Agromakanan yang terjejas banjir melalui suntikan dana sebanyak RM20 juta untuk Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
“Di bawah TBTP, pesawah yang mengalami kemusnahan tanaman padi akibat banjir bakal menerima bantuan secara tunai sehingga RM1,800 per hektar dengan had maksimum sehingga 3 hektar.
“Bagi pengusaha pertanian lain pula, RM50 juta tambahan akan disediakan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).
“Manakala di bawah PPSPA, petani, penternak dan peladang yang terjejas akibat kerosakan banjir, layak untuk memohon untuk bantuan sehingga maksimum 50% daripada jumlah kerugian.
“Kadar dan had bantuan adalah mengikut Garis Panduan tabung tersebut dan diberi dalam bentuk barangan atau in-kind iaitu seperti input pertanian atau peralatan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus komited dalam usahanya meringankan beban semua golongan yang terjejas akibat banjir seperti PMKS dan Pengusaha Agromakan dengan sentiasa bersedia untuk menyediakan bantuan yang sewajarnya. – Malaysiapost

