DI SEBALIK peningkatan kes Covid-19 angkara varian Omicron, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menghantar permohonan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk membida hak tuan rumah pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada pertengahan tahun ini.
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata keputusan sama ada Malaysia berjaya menjadi tuan rumah atau tidak akan diketahui selepas majlis undian rasmi kelayakan Piala Asia 2023 pada 24 Februari ini.
Menurut Hamidin, walaupun memenuhi kriteria ditetapkan AFC, Malaysia perlu bersaing dengan negara lain yang turut menghantar permohonan rasmi untuk jadi tuan rumah.
“AFC akan buat keputusan sama ada kita berjaya atau tidak kerana saya difahamkan daripada Setiausaha Agung AFC (Datuk Windsor John) hampir kebanyakan pasukan membida untuk jadi tuan rumah, bukan kita sahaja.
“Jadi AFC ada kriteria mereka dan setakat ini saya difahamkan kita masih (memenuhi kriteria), cuma terpaksa bersaing dengan negara lain.
“Ada sesetengah (negara) langsung tiada kuarantin. Jadi AFC akan lihat semua kriteria dan paling mustahak pasukan kita kena bersedia sama ada bermain di dalam negara atau di luar,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Sementara itu Hamidin berkata meskipun jangkitan Covid-kini semakin meningkat di Malaysia, FAM tetap meneruskan bidaan untuk menjadi tuan rumah.
Menurut Hamidin pihaknya yakin penularan varian omicron boleh dikawal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“Betul naik tapi kali ini berbeza sebab ramai sudah vaksin. Jadi kita cuma ikut SOP KKM serta MKN dan kami tetap meneruskan bidaan lagipun sekreatariat kami pun sudah hantar permohonan itu,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, AFC mengesahkan perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 akan diadakan secara berpusat dan semua perlawanan mengikut format ‘single round robin’.
AFC juga memaklumkan perlawanan kelayakan akhir Piala Asia 2023 akan diadakan pada tiga tarikh yang telah ditetapkan iaitu 8, 11 dan 14 Jun 2022. – Malaysiapost

