Bersatu Bahagian Tanjung Piai tidak terbubar

0
1

BERSATU Bahagian Tanjung Piai tidak terbubar walaupun beberapa ahlinya keluar parti, pada Ahad lalu, tegas Pemangku Ketuanya, Musa Khamis.

Menurutnya, bahagian berkenaan masih berdiri teguh dengan sokongan 20 cawangan kerana hanya satu cawangan sahaja yang terbubar.

“Saya maklum mengenai bekas Setiausaha Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Hishamuddin Busri bersama empat ahli jawatankuasa umum keluar parti dengan alasan Bersatu sudah kehilangan hala tuju.

“Dakwaan kira-kira 300 ahli yang lain turut angkat kaki juga keterlaluan.

“Bersatu Tanjung Piai masih ada jawatankuasa dan 20 cawangan lain yang akan bergerak terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Musa berkata, Bersatu juga akan membentuk semula cawangan yang terbubar itu bagi menghadapi PRN Johor.

Beliau berkata, seramai 13 Ketua Cawangan Bersatu Bahagian Tanjung Piai menandatangani surat menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan bahagian berkenaan.

“Tujuh cawangan lain dijangka mengikut langkah sama untuk membuat perakuan ikrar setia bagi kekal dalam Bersatu.

“Isu lompat parti sudah menjadi asam garam tiap kali tiba pilihan raya. Kami akan membentuk semula cawangan yang terbubar itu bagi mempersiapkan jentera menghadapi PRN,” katanya.

Pada Ahad lalu, seramai 300 ahli Bersatu Bahagian Tanjung Piai dikatakan keluar daripada parti itu dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam sebuah majlis yang diadakan di Pekan Nanas, Pontian.

Kesemua mereka terdiri daripada ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Tanjung Piai dan lima cawangan Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Pekan Nanas Timur, Pekan Nanas Selatan, Ladang South Malaya, Melayu Raya dan Lubok Sawah.

Bekas Setiausaha Bahagian Bersatu Tanjung Piai Hishammuddin Busri berkata, keputusan keluar parti diambil selepas mendapati Bersatu hilang arah tujuan dan tiada masa depan. – Malaysiapost08:23 AM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here