USAHAWAN dan peniaga Cina di Johor mesti bijak untuk menolak individu yang mempunyai rekod memalukan negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau menggesa ahli perniagaan Cina Johor yang disifatkan sebagai “individu berprinsip” supaya “bijak memilih” dengan menolak kleptokrat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Menurutnya, persatuan perniagaan tempatan telah meminta kementerian untuk membawa lebih ramai pelabur asing, namun kestabilan kerajaan dan integriti pemimpin menjadi asas utama kepada pelabur.
“Jika sudah bersalah, bukan saya kata, mahkamah dah jatuh hukuman bahawa kamu bersalah dan antara penghakiman yang diberi oleh hakim adalah manusia ini malukan negara, mengapa kita nak sokong pemimpin dan parti seperti ini?
“Anda mahu kami membawa lebih banyak pelaburan ke Johor, anda mahu kami bawa banyak pelaburan ke Batu Pahat. Saya beri aku janji bahawa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan bekerja keras.
“Tapi pilihan raya kali ini pilih betul-betul jangan buat salah,” katanya ketika berucap pada majlis bersama Dewan Perniagaan Cina di Batu Pahat, hari ini.
Tanpa menyebut sebarang nama, kata-kata Azmin itu dipercayai mengkritik pemimpin Umno yang berdepan pertuduhan kes jenayah rasuah di mahkamah.
Tambah Azmin, persatuan perniagaan dirayu untuk memilih ‘kerajaan yang kuat dan berwibawa’ di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Anda boleh tentukan masa depan rakyat Johor pada PRN ini. Betul tak? Kuasa ditangan kita bukan kleptokrat. Kuasa ditangan rakyat Johor,” katanya.-Malaysiapost

