Ramai lagi pemimpin Bersatu sedia kembali sokong Umno – Annuar

0
1

KETUA Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan perpindahan beberapa pemimpin kanan Bersatu Johor kembali kepada Umno adalah gelombang pemulihan yang baik untuk parti itu.

Menurutnya, beliau juga yakin terdapat ramai lagi pemimpin Bersatu akan mengambil keputusan yang sama, pulang ke pangkuan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Gelombang ini bukan satu perkara yang tidak baik. Ia satu proses pemulihan. Belut pulang ke lumpur, sireh pulang ke gagang.

“Kita ahli dan penyokong setia parti harus membuka pintu,menyambut kepulangan ini. Mudah mudahan ia turut merintis kepulangan dokongan rakyat keseluruhannya terhadap parti keramat warisan bangsa ini,” katanya dalam hantaran Facebook hari ni.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, dalam sejarah politik negara, parti serpihan biasanya berjuang di bawah dokongan personaliti, dan bukan organisasi atau idealogi.

Annuar menambah, selain itu hayat parti serpihan lazimnya juga tidak lama.

“Namun Umno adalah sebuah parti berakar umbi, punya organisasi dan tidak terlalu bergantung kepada personaliti. Kepimpinan sering Patah Tumbuh Hilang Berganti.

“Saya mendoakan lebih ramai kawan-kawan yang dulunya meninggalkan parti ini, kembali semula. Kita bersama mendokong perjuangan ini. Umno harus terus terbuka, kerana Umno harus memimpin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here