REKABENTUK yang tidak menepati ciri-ciri kalis banjir mungkin menjadi punca banjir di lebuh raya berkembar Jalan Paya Terubong, Pulau Pinang baru-baru ini, kata Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri itu berkata adalah mustahil lebuh raya baru dibuka seminggu itu mengalami banjir sedangkan lebuh raya sama seperti Rawang Bypass di Selangor yang beroperasi sejak tahun 2008 tidak pernah mengalami kejadian berkenaan.
“Kerajaan DAP (Pulau Pinang) kata ini (banjir) sebab daun kering dan sampah. Namun saya percaya masalah lebuh raya Pulau Pinang ini mungkin adalah masalah design.
“Sebab saya tak pernah dengar bahawa jalan Rawang Bypass yang sama tinggi dan lebih panjang pernah banjir seperti ini sejak dibuka pada tahun 2008.
“Tak pernah pun Rawang Bypass menyalahkan daun kering dan sampah, melainkan kerajaan DAP Pulau Pinang tuduh warga Pulau Pinang memang gemar buang sampah merata-rata,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu turut menyindir kerajaan Pulau Pinang kerana membina lebuh raya yang boleh mengalami banjir hanya berpunca daripada daun kering.
Katanya, meskipun berjaya membina kemudahan itu, namun sebaik sahaja dibuka lebuh raya kebanggaan DAP itu mula mengalami masalah banjir sehingga tidak boleh dilalui.
“Salah daun kering. Pertama kali dalam dunia, daun kering disalahkan sebab sebuah lebuhraya tidak boleh digunakan.
“Saya masih ingat DAP begitu bangga apabila lebuh raya berkembar Jalan Paya Terubong dibuka minggu lepas. Janji ditepati, kata DAP. Bergilir-gilir propaganda PH dikeluarkan untuk puji diri masa itu.
“Biarpun ia cuma 3.8km panjangnya dan satu-satu sahaja daripada enam lebuh raya serta terowong (yang lain tak pernah mula bina) yang dijanji dan dirancang oleh kerajaan DAP sejak mereka menang Pulau Pinang 14 tahun dahulu,” katanya.
Minggu lalu tular di media sosial gambar dan klip video memaparkan lebuh raya tertinggi di Malaysia itu mengalami banjir kilat.
Video kejadian itu dikongsi pengguna jalan raya yang memaparkan air bertakung hampir 0.5 meter pada sebagian jalan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh dalam kenyataannya memaklumkan, air segera surut selepas pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang melakukan kerja-kerja pembersihan.
“Kejadian itu disebabkan longkang tersumbat kerana lubangnya ditutup oleh daun kering dan sampah. Masalah itu telah diselesaikan dan air telah surut,” katanya. – Malaysiapost

